Petikan dari Kitab Injil: Markus 7: 1 – 23.
Orang Farisi dan beberapa guru Taurat yang datang dari Baitulmaqdis berkumpul di keliling Isa. Mereka melihat beberapa pengikut Isa makan dengan tangan yang ‘tidak suci’, iaitu tangan yang tidak dibasuh. (Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan. Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)
Oleh itu, orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Isa, ‘Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang “tidak suci”?’
Isa menjawab, ‘Tepat sekali kata-kata Nabi Yasyaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat:
‘ “Bangsa ini menghormati-Ku
dengan kata-kata,
tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
Sia-sialah mereka menyembah-Ku;
sedangkan ajaran yang mereka
ajarkan ialah peraturan manusia.”
‘Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia.’
Isa berkata lagi: ‘Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri! Musa menyampaikan perintah ini, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.” Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Segala apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan emak, sudah kujadikan korban” (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah), maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa. Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.’
Isa memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, ‘Kamu semua, dengarlah supaya kamu faham. Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. Jika kamu bertelinga, dengarlah!’
Setelah Isa meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.’ (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
Kata-Nya lagi: ‘Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.’