Skip to content
  • Facebook
  • Instagram
  • YouTube
  • Tentang Kami
  • Kitab-Kitab Suci Yang Terdahulu
Hidangan Dari Langit

Hidangan Dari Langit

Nikmatilah hidangan dari langit yang boleh membawa harapan dan berkat kepada kehidupan-mu.

  • Kisah-Kisah Nabi
  • Kisah-Kisah Wanita Yang Solehah
  • Kitab-Kitab Suci Yang Terdahulu
  • Lagu-lagu Pujian Allah
  • Toggle search form

Isa Mengajar Melalui Ibarat

Posted on 2025-04-152025-05-02 By Main Editor
Petikan dari Kitab Injil: Matius 13: 1 – 52.

Ibarat Seorang Penabur

Pada hari itu juga, Isa keluar dari rumah lalu duduk di tepi laut. Sungguh ramai orang datang berhimpun mendapatkan-Nya. Isa pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai. Isa berbicara kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang penyemai benih telah pergi menabur. Sebahagian benih yang ditaburnya jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung. Sesetengahnya jatuh di tempat-tempat berbatu yang tidak banyak tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu kering kepanasan, lantas layu kerana tidak berakar. Ada pula yang jatuh di semak duri, lalu tewas ditindas tumbuhan duri. Namun, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda. Sesiapa yang ada telinga, dengarlah!’

Para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa Junjungan bercakap kepada mereka melalui ibarat?’

Isa menjawab, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak. Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga melimpah-limpah. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil. Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat:

‘ “Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak,

mereka mendengar tetapi tidak mengerti.”

‘Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yasyaya:

‘ “Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti;

kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui.

Kerana hati umat ini telah buntu,

mereka pekakkan telinga,

dan pejamkan mata.

Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat

dengan mata,

mendengar dengan telinga,

dan mengerti dengan hati,

lalu berpaling kepada-Ku

dan Aku menyembuhkan mereka.”

Tetapi berbahagialah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar. Sesungguhnya, Kukatakan kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat dan mendengar apa yang kamu dengar, tetapi hasrat mereka tidak tercapai.

Oleh itu dengarlah maksud ibarat penyemai benih: Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan. Orang yang menerima benih di tempat-tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar perkhabaran itu dan terus menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar dalam dirinya, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menghadapi kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, imannya pun luntur. Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal duniawi dan godaan harta kekayaan mengasyikkannya lalu dia tidak dapat menghasilkan apa-apa. Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar perkhabaran itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali atau tiga puluh kali ganda.

Ibarat Tentang Lalang Di Antara Gandum

Isa menceritakan satu ibarat lagi: ‘Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya. Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu. Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga.

Hamba peladang berkata, “Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?”

Jawab peladang itu, “Ini perbuatan musuh.”

Hamba itu bertanya, “Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?”

“Tidak,” jawab peladang itu, “takut tercabut gandum juga. Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.”

Ibarat Tentang Biji Sesawi Dan Ragi

Seterusnya Isa mengisahkan ibarat demikian: ‘Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditanam di ladangnya. Biji sesawi itu paling kecil di antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung membuat sarang.’

Kemudian Isa menceritakan suatu ibarat lagi, ‘Kerajaan syurga seperti ini: Seorang wanita mencampurkan sedikit ragi dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.’

Demikianlah Isa mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat. Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi:

‘Aku akan bertutur kepada mereka

melalui ibarat,

Aku akan menyampaikan

kepada mereka

hal-hal yang dirahsiakan sejak

dunia dicipta.’

Ibarat Tentang Lalang Diterangkan

Selepas itu Isa meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.’

Isa berkata, ‘Orang yang menabur benih baik itu Putera Insan. Ladang itu dunia; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah manakala lalang ialah orang yang menyebelahi si durjana. Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat.

‘Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir. Putera Insan akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua di kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dan yang menyebabkan orang berdosa. Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi. Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Jika kamu mempunyai telinga, dengarlah!’

Ibarat Tentang Harta Tersembunyi Dan Mutiara

Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.

Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya. Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.

Ibarat Tentang Pukat

Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan. Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik dan membuang yang tidak baik. Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar. Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.

Fahamkah kamu hal-hal ini?’ Isa bertanya kepada para pengikut-Nya.

Kami faham,’ jawab mereka.

Isa berkata, ‘Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama simpanannya.’

Ajaran Isa Al-Masih, Isa Al-Masih, Kisah Nabi

Post navigation

Previous Post: Perintah yang Terutama
Next Post: Ibarat Tentang Pengampunan

Related Posts

Jawapan di luar jangkaan Ajaran Isa Al-Masih
Doa Minta Ampun Kisah Daud
Perjamuan Terakhir Isa Al-Masih

Menu

  • Kisah-Kisah Nabi
  • Kisah-Kisah Wanita Yang Solehah
  • Download Kitab Taurat
  • Download Kitab Injil
  • Download Kitab Zabur
  • Lagu-lagu Pujian Allah
  • Kitab-Kitab Suci Yang Terdahulu
  • Tentang Kami

Copyright (C) 2020-2025 Hidangan Dari Langit

Powered by PressBook Media WordPress theme

  • →
  • Follow us on Facebook
  • Follow us on YouTube